Minggu, 20 Mei 2012

MENGGEMBIRAKAN TEMAN


"Sesungguhnya amalan yang sangat dicintai Allah selepas melakukan ibadat fardhu oleh hambanya ialah mengembirakan hati saudaranya sesama Islam" (HR. Baihaqi)

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya tanggung jawab seseorang hamba bagi menceriakan jiwa saudaranya. Lebih lebih lagi soal menghasilkan sesuatu keperluan atau mencapai kepentingan sesama muslim dalam masa seseorang itu mengejar sesuatu kerjaya dalam hidupnya. Adalah tidak wajar orang lain menghalangnya bahkan dianjur supaya memberi bantuan ke arah usaha tersebut agar segera diperolehinya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan umatnya ke arah memberi pertolongan terhadap saudaranya untuk mencapai sesuatu hajat sepertimana dinyatakan di dalam hadisnya yang berbunyi:

‘Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang mana tidak boleh menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari qiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.’ (Riwayat Bukhari Dan Muslim, Abu Daud)

Melalui suruhan Rasulullah terhadap umatnya sepertimana yang difahamkan dalam hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjadi suatu kewajipan ke atas orang muslim untuk berusaha bagi mengelokkan pergaulan sesama manusia dengan memberi pertolongan, bantu-membantu antara satu sama lain. Apabila terdapat sesuatu permusuhan atau pertengkaran bersegeralah untuk mendamaikan mereka, seperti firman Allah:

“Tiada kebaikan dalam segala urusan yang mereka tempuhi melainkan menyeru ke arah kebenaran atau melakukan segala kebajikan ataupun mendamaikan di antara manusia yang bergaduh dan sesiapa yang melaksanakan demikian adalah untuk menuntut keredhaan Allah, semoga Allah berikannya pahala yang berlipat ganda” (Surah An-Nisa’: 114)

Ayat ini bermaksud melarang kejayaan satu golongan yang seringkali merahsiakan dari golongan yang lain, sedangkan golongan yang menjadi mangsa itu juga berhak menerima kejayaan yang sama, maka cara ini seolah-olah menunjukkan sifat tamak dan belot yang seringkali terjadi di kalangan umat manusia, lebih-lebih lagi zaman sekarang. Keadaan begini walaupun berjaya tetapi di sisi Allah adalah gagal disebabkan tamak dan belot tadi, bahkan menimbulkan perpecahan yang merugikan perpaduan ummah itu sendiri. (Rujuk Imam Fakhruddin Al-Razi, 1990. hlm. 33-34, juzuk 11)

Tidak ada komentar: